Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEGIATAN satu sindiket penyeludupan rokok yang menjadikan sebuah rumah lama dalam kawasan ladang sawit di Sri Pantai Mersing, Mersing terbongkar apabila diserbu polis malam tadi.
Kegiatan itu berjaya dihidup semasa anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melakukan rondaan di kawasan persisir pantai sebelum mendapat maklumat pada pukul 8 malam terdapat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
PPM Wilayah Dua dimaklumkan terdapat sebuah kenderaan warna gelap masuk ke kawasan ladang sawit tersebut dalam keadaan mencurigakan dan disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, pihak risikan kemudian pergi ke lokasi yang dinyatakan, tetapi tidak menemui sebarang kenderaan.
“Namun pihak polis menjumpai sejumlah kotak dan rokok dipercayai tidak bercukai kastam.
“Tiada individu yang datang mengambil rokok berkenaan setelah intipan dijalankan selama satu jam setengah oleh anggota PPM tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya merampas rokok itu yang dipercayai tidak bercukai kastam dan dibawa ke Pejabat PPM Wilayah Dua di sini sebelum diserahkan
kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Mersing untuk tindakan selanjutnya. – SB
Katanya, anggaran kasar nilai rampasan rokok termasuk cukai RM20,400 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Muhd. Zailani meminta kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat kegiatan mencurigakan supaya dapat membantu pihak polis membenteras kegiatan penyeludupan.
Polis marin katanya, akan sentiasa bekerjasama dengan balai-balai polis berhampiran bagi membanters kegiatan penyeludupan rokok, dadah dan migran dengan lebih berkesan, maklumat boleh disalurkan melalui 07-2372222.
Leave a Reply