SPR Johor

PRN Johor: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEKITAR 70 peratus daripada 2,597,742 pengundi disasarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh pengundian juga dianjakkan selama 30 minit dari pukul 8 pagi hingga 6 petang bagi memberikan peluang kepada orang ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Justeru, SPR memohon kerjasama semua pihak termasuk agensi media dan parti-parti politik untuk mengambil langkah menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi pada tarikh tersebut.

“Bagi menggalakan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media, hebahan siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat bersesuaian,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru hari ini.

Terdahulu, Abdul Ghani mengumumkan tarikh mengundi PRN Johor adalah pada 12 Mac selepas proses penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari ini, sebelum hari mengundi awal pada 8 Mac bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

PRN Johor dilaksanakan sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 selepas pembubaran DUN Johor bagi penggal ke-14 pada 23 Januari lalu.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.

Abdul Ghani menjelaskan, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari lalu.

“Daftar tersebut mengandungi 2,597,742 pengundi terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis bersama pasangan serta 376 pengundi tidak hadir luar negara.

“Bagi urusan permohonan pengundi pos di luar dan dalam negara ia telah bermula hari ini dan bagi pengundi luar negara dan sembilan agensi sektor keselamatan, tarikh tutup mengundi pada 18 Februari. Petugas media, petugas pilihan raya, pegawai SPR, polis dan anggota tentera pula tarikh tutup mengundi pada 24 Februari,” katanya.

Sementara itu, mengikut data dikeluarkan SPR, daripada 2,597,742 pengundi yang layak memilih kali ini, 50.08 peratus merupakan pengundi lelaki iaitu seramai 1,300,923 orang manakala baki selebihnya 49.92 peratus adalah pengundi wanita.

Dalam statistik mengikut umur pula, 567,768 pengundi dalam kategori usia 21 hingga 29 tahun menjadi pemilih teramai yang didaftarkan iaitu mewakili 21.86 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Mereka yang berumur 30 hingga 39 tahun pula menjadi kumpulan kedua tertinggi iaitu 560,744 pengundi atau 21.59 peratus serta 453,732 orang lagi tergolong dalam kategori pengundi berusia 40 hingga 49 tahun.

Sementara itu, pengundi baharu dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya mewakili 6.67 peratus daripada jumlah keseluruhan apabila seramai 173,177 layak memilih dalam PRN Johor ke-15 kali ini.

Dalam pada itu, DUN Kota Iskandar dalam Parlimen Iskandar Puteri merekodkan jumlah pengundi tertinggi dalam PRN Johor apabila seramai 116,415 pemilihan berada dalam senarai Daftar Pemilih Induk (DPI) termasuk 240 pengundi awal dan 16 pengundi tidak hadir luar negara.

Manakala DUN Bukit Naning dalam Parlimen Bakri menyaksikan jumlah pemilih terendah dengan hanya 22,594 pengundi berada dalam DPI termasuk 964 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis dan pasangan serta enam pengundi tidak hadir luar negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *