PRN Johor: Muda tanding enam kerusi

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Muda dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, kerusi yang akan ditandingi melibatkan DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Parti itu menjelaskan, keputusan tersebut selepas mengadakan rundingan agihan kerusi antara Muda, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah)

“Setelah siri-siri mesyuarat dan perbincangan pelbagai hala dilakukan, keputusan rundingan rasmi antara semua parti ini telah sebulat suara dimuktamadkan.

“Rundingan rasmi ini telah bersetuju dengan tiga matlamat utama iaitu pertama, memastikan tidak ada pertindihan kerusi antara calon Amanah, DAP dan Muda di setiap kawasan.

“Kedua adalah bagi menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera Amanah, DAP dan Muda untuk memenangi setiap calon dan ketiga bersama-sama menubuhkan kerajaan negeri Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka,” menurut kenyataan itu.

Rundingan antara Muda dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN berkenaan.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *