Oleh RAHIMI MOHAMAD
SURUHAN Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Februari ini manakala pengundia awal pada 8 Mac.
Tarikh-tarikh penting tersebut diumumkan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15 di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru hari ini.
Beliau menambah, PRN diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN Johor ke-14 pada 23 Januari lalu,
Abdul Ghani memberitahu, pelaksanaan PRN adalah seperti yang termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.
Abdul Ghani menjelaskan, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari lalu.
“Daftar tersebut mengandungi 2,597,742 pengundi terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis bersama pasangan serta 376 pengundi tidak hadir luar negara.
“Bagi urusan permohonan pengundi pos di luar dan dalam negara bermula hari ini. Bagi pengundi luar negara dan sembilan agensi sektor keselamatan, tarikh tutup mengundi pada 18 Februari.
“Bagi petugas media, pilihan raya, pegawai SPR, polis dan anggota tentera pula tarikh tutup mengundi pada 24 Februari,” ujarnya.
Bagi permohonan pengundi pos pula, beliau berkata, ia dilaksanakan secara dalam talian melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.
“Bagi kelayakan pengundi pos kategori luar negara yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan antaranya ialah bermastautin di luar negara kecuali wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” katanya lagi.
Abdul Ghani berkata, sebanyak 55 pusat penamaan calon (PPC) dan 56 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan, manakala 1,021 pusat mengundi biasa pula mengandungi 4,638 tempat mengundi (saluran) dan 64 pusat mengundi awal menggunakan 82 tempat mengundi.
Menurut beliau, semua 962 pusat mengundi biasa akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang dan baki 59 pusat dibuka mengikut waktu diwartakan, manakala 29 pusat mengundi awal pula dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang. Baki 26 pusat mengundi awal akan dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang.
“Seramai 49,290 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses PRN yang dianggarkan menelan belanja sebanyaj RM96 juta,” tambahnya.
Leave a Reply