PERIKATAN Nasional (PN) Johor berharap proses perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini akan berlangsung dengan lancar tanpa berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pada masa sama, menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat termasuklah jentera pilihan raya dan pengundi untuk mematuhi amalan norma baharu dan protokol kesihatan ditetapkan.
“Sebagai menyokong kempen ‘Jom Kita Undi’, PN Johor memohon agar prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan ditetapkan adalah tidak terlalu ketat.
“Saranan ini telah dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana SOP yang ketat dijangka akan menyukarkan calon serta parti yang bertanding untuk berkempen.
“Justeru, PN Johor percaya SOP yang akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan ini nanti, bersifat mesra kempen pilihanraya dan pengundi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengumumkan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala hari mengundi awal pada 8 Mac.
Sahruddin menambah, dengan pengumuman tarikh-tarikh penting tersebut, PN Johor akan meneruskan dan memperkasakan gerak kerja jentera bagi menghadapi PRN Johor.
Beliau memberitahu, sebagai menghormati sistem demokrasi berparlimen, Bersatu bersama PAS dan Gerakan sebagai anggota PN akan meletakkan calon di semua kerusi yang dipertandingkan.
“PN Johor turut menyambut baik inisiatif SPR untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi menerusi pelaksanaan kempen ‘Jom Kita Undi’.
“Beberapa penambahbaikan yang diteruskan bagi PRN Johor juga menunjukkan komitmen SPR bagi memastikan sasaran 70 peratus pengundi keluar mengundi, tercapai,” jelasnya.
Leave a Reply