PN PRN

PN ada potensi menang PRN Johor – Mohd Amar

PERIKATAN Nasional (PN) berpotensi besar untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurut Mohd Amar, perkara itu boleh berlaku menerusi undian pengundi baharu termasuk golongan muda.

Katanya, pengundi baharu dimaksudkan ialah daripada golongan muda berusia 18 tahun, iaitu mereka yang buat pertama kali memasuki senarai daftar pengundi, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, terdapat lebih 700,000 pengundi baharu di mana 150,000 merupakan pengundi milenium berusia 18 tahun.

“Golongan ini biasanya tidak mempunyai ikatan dengan mana-mana parti dan mereka mengundi mengikut isu, calon serta perkara yang bersifat semasa.

“Jadi, sebab itulah PN ada potensi untuk menang dalam PRN di Johor nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kota Darul Naim, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bagaimanapun berkata, perkara itu bergantung kepada perancangan dan gerak kerja PN bagi meraih undi di kubu kuat UMNO.

Menurut Mohd Amar, pada asasnya keadaan di Johor sama sebagaimana kedudukan UMNO Melaka, namun perancangan yang teliti oleh jentera parti mampu memberi potensi besar kepada PN.

“Hasil gerak kerja bakal dilakukan berkemungkinan boleh menghasilkan kejutan,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju untuk mewujudkan jentera bersama bagi menghadapi PRN Johor.

Katanya, ia agak berbeza dengan PRN Melaka sebelum ini di mana jentera kedua-dua parti adalah berasingan termasuk bilik gerakan.

“Kali ini kita wujudkan jawatankuasa secara bersama supaya tidak timbul perbezaan gerak kerja dan penyelarasan,” jelas beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac depan di mana hari penamaan calon pada 26 Februari ini manakala tarikh pengundian awal ditetapkan pada 8 Mac depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *