Exco Pulau Pinang

Pembantu pegawai khas Exco Pulau Pinang direman siasatan kes rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk menahan reman tiga individu termasuk seorang pembantu pegawai khas Exco Pulau Pinang kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkaitan satu program membabitkan golongan penjaja melibatkan nilai rasuah lebih RM80,000.

Penahanan reman selama empat hari sehingga 12 Ferbruari ini itu dikeluarkan oleh Majistret R Manomani di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang pagi tadi.

Selain lelaki berusia 42 tahun yang bertugas sebagai pembantu pegawai khas Exco Pulau Pinang itu, turut direman oleh SPRM ialah dua lagi individu masing-masing seorang lelaki dan wanita.

Kesemua tertuduh itu merupakan antara enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun yang ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang berhubung kes itu petang semalam.

Menurut sumber, mereka dipercayai mengemukakan butiran palsu berkaitan pembekalan peralatan melibatkan enam buah syarikat sedangkan program pada 2020 tersebut tidak dilaksanakan.

“Seramai tiga individu ditahan di lokap SPRM Pulau Pinang dan  dilepaskan dengan jaminan SPRM dalam tempoh 24 jam manakala tiga lagi dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan media di Pulau Pinang hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean ketika dihubungi berkata,  kes disiasat di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *