SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan senarai nama individu yang didakwa menerima rasuah daripada bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner.

Memetik laporan FMT, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya juga sudah membuka kertas siasatan susulan aduan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu terhadap pegawai bank berkenaan.

Namun, beliau mengakui, usaha untuk mendapatkan nama terbabit agak sukar kerana melibatkan individu dari luar negara dan terpulang kepada pihak AS untuk berkongsi maklumat yang diperlukan.

“Kita sedang berhubung dengan pihak AS jika mereka boleh kongsikan bukti baharu. Itu hak prerogatif mereka. Jika mereka nak kongsi, mereka akan sedia kongsikan bukti (nama),” katanya.

Azam menambah, SPRM tidak boleh bertindak sendirian dan perlu melalui Pejabat Peguam Negara serta undang-undang AS untuk mendapatkan bukti yang diperlukan.

“Permohonan ini bukan kami boleh terus buat, kerana kita perlu melalui Pejabat Peguam Negara kerana sebarang keterangan luar negara yang kita nak peroleh mesti melalui ‘mutual legal assistance’ dan undang-undang negara berkenaan,” jelasnya.

Beliau menambah, setakat ini pihak berkuasa AS sudah memberikan maklum balas namun masih belum mendedahkan nama yang terlibat.

“Setakat ini ada reaksi positif daripada AS tetapi mereka belum lagi dedahkan bukti diperlukan. Kami sedang cuba dan amat berharap (dapat senarai nama),” ujarnya.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Najib membuat laporan terhadap bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc itu di SPRM Putrajaya bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia menyoal, membawa balik atau meminta senarai nama daripada Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dalam usaha membersihkan namanya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dilaporkan berkata, tindakannya itu diambil kerana sudah habis usaha yang dilakukannya untuk mendapatkan senarai nama individu daripada syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia yang didakwa pernah disogok oleh Leissner seperti pengakuan salah lelaki itu di mahkamah AS pada 2018.

Pengakuan salah itu menyaksikan Goldman Sachs bersetuju membayar ganti rugi sebanyak USD3.9 bilion(RM16.4 bilion) kepada kerajaan Malaysia.

“Pada awal tahun ini (lepas), peguam saya berjaya memenangi kes di AS untuk mendapatkan senarai nama dalam pengakuan Tim Leissner yang disogok beliau.

“Namun kerajaan AS melalui DOJ membantah keputusan mahkamah AS dan menghalang nama itu didedahkan kepada umum,” katanya selepas membuat laporan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here