Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin, tiada ketua bahagian yang akan keluar parti terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.
Beliau berkata, empat ketua bahagian Bersatu yang didakwa akan keluar parti, tidak akan berbuat demikian selagi mereka terus berpegang dengan prinsip dan perjuangan parti yang menolak kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa.
“Mereka akan terus bersama-sama parti melainkan ‘tergoda’ dengan tawaran pihak tertentu untuk berbuat demikian.
“Kita yakin mereka yang tetap pendirian dan yakin dengan perjuangan Bersatu yang tolak kemungkaran, tentang puak yang telah salah guna kuasa satu ketika dulu, tentu akan bertahan.
“Tetapi jika ada yang tergoda dan (ada ditawarkan) jajaran baharu, wallahuallam. Terpulang, tapi saya yakin sebahagian besar rakyat, kita semuanya tolak kemungkaran, kleptokrasi dan salah guna kuasa.
“Itu yang kami sedang laksanakan dan teruskan perjuangkan dengan cara kami, semoga Allah beri petunjuk dan hidayah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (Kamsau), Kota Tinggi, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan
mengulas khabar angin empat ketua bahagian Bersatu di negeri ini akan mengumumkan keluar parti dalam masa terdekat.
Mengenai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beberapa cawangan Bersatu yang keluar parti baru-baru ini, beliau menjelaskan, tindakan tersebut tidak terlalu menjejaskan atau memberi kesan terhadap Bersatu pada PRN Johor.
Jelasnya, dua ADUN yang keluar Bersatu semasa berada dalam parti, tidak banyak menyumbang dan ada yang tidak berjaya membuka cawangan di kawasan masing-masing.
“Kalau ada yang buka cawangan pun tak ramai, mesyuarat cawangan Bersatu tidak mudah diadakan kerana tidak cukup korum dan situasi ini turut dihadapi parti lain,” katanya.
Katanya, orang ramai lebih faham apa yang diperjuangkan Bersatu dan percaya mereka akan bersama-sama parti yang tidak menodai janji.
“Ada yang mengatakan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair di bibir tetapi kelakuan seharian (pemimpin) semasa berkuasa berbeza. Rakyat faham perkara ini dan mereka bukan bodoh,” katanya.
Bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengumumkan keluar Bersatu serta merta pada 27 dan 29 Januari lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu.
Leave a Reply