UMNO sewajarnya memanfaatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menampilkan imej baharu parti itu sekali gus menambat kembali keyakinan pengundi.
Menurut Ketua Pemuda Bahagian UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros, PRN itu juga boleh digunakan untuk menepis dakwaan bahawa parti itu dikawal oleh kelompok atau kumpulan tertentu.
“Lebih-lebih lagi apabila banyak pihak yang mendakwa kononnya PRN Johor sengaja diadakan untuk memenuhi agenda politik peribadi ‘kluster mahkamah’ yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin utama parti,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.
Kluster mahkamah dipercayai merujuk kepada sekumpulan pemimpin UMNO yang sedang berdepan kes mahkamah seperti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Najib Razak.
Noor Azleen menambah, pucuk pimpinan UMNO perlu memaparkan imej baharu parti iu serta memberikan gambaran masa depan yang lebih ampuh dan malar segar.
“Peluang ketika PRN ini haruslah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan UMNO, bukan sahaja dalam berdepan dengan kehendak realiti politik semasa malahdiguna pakai sebagai strategi jangka masa panjang bagi parti mendepani cabaran serta perubahan landskap politik mendatang,” jelasnya.
Beliau menambah, PRN Johor perlu dijadikan kesempatan terbaik untuk UMNO menonjolkan bakat-bakat baharu yang kini berada di pelbagai peringkat.
“Berdasarkan realiti serta kehendak politik semasa, UMNO tidak lagi mampu dengan hanya bersandar kepada retorik perjuangan politik bangsa dan agama semata-mata untuk terus menggamit keyakinan dan kepercayaan rakyat serta pengundi.
“UMNO perlu membuka peluang kepada bakat-bakat yang mampu menjadikan ia sebuah parti politik yang bukan sahaja peka, malah berkesan membawa perubahan kepada dasar-dasar awam penting yang memberikan kesan langsung kepada aspek kehidupan rakyat,” katanya.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu memberitahu, seiring dengan pelaksanaan Undi18, parti itu juga perlu mengambil langkah berani untuk memikat hati dan minda pengundi anak muda.
Beliau berkata, UMNO wajar membuka peluang kepada bakat-bakat baharu untuk membina kewibawaan dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan anak muda seperti peluang pekerjaan berkualiti dan kemampuan memiliki rumah.
“Bakat-bakat baru dalam UMNO pula perlu berperanan membina kredibiliti parti dengan memperjuangkan isu-isu yang lebih besar dan bersifat universal seperti perubahan iklim, kewujudan kelompok kemiskinan baru, adaptasi teknologi dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat dan lain-lain,” katanya.
Leave a Reply