POLIS daerah Timur Laut, Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 49 kompaun berjumlah RM49,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19 sepanjang Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 27 kompaun membabitkan mereka yang tidak mengamalkan penjarakan sosial; gagal mengimbas daftar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (1) dan melakukan aktiviti terlarang (4).
Kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 167 premis-premis perniagaan, lokasi pelancongan dan sebagainya hasil kerjasama antara dengan Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan lain
“Daripada pemantauan kita, orang ramai didapati mula berasa selesa dengan situasi pandemik Covid-19 apabila kes positif menunjukkan penurunan sebelum ini.
“Jadi, kebanyakan daripada mereka semakin leka dan mengabaikan SOP pencegahan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.
Sehubungan itu, Soffian mengingatkan orang ramai yang mana polis tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati melanggar SOP.
Dalam masa sama, beliau juga menasihatkan para peniaga supaya turut memainkan peranan dengan mengehadkan jumlah pelanggan ke premis masing-masing supaya tidak terlalu ramai.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelak berada di kawasan-kawasan yang sesak dan sentiasa patuh dengan SOP dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian Covid-19 terutama membabitkan varian Omicron,” katanya.
Leave a Reply