Kesihatan Tun M semakin pulih-Mukhriz

KEADAAN kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semakin pulih berbanding minggu lalu selepas pulang dari Institut Jantung Negara (IJN).

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, itu merupakan satu petanda baik dan ayahandanya kini berehat di rumah.

Bagaimanapun katanya, Pengerusi Pejuang itu masih perlu menjalani rawatan sesi fisioterapi di Institut Jantung Negara (IJN).

“Tun M sekarang ini dah dibenarkan pulang ke rumah walaupun masih lagi menjalani rawatan di IJN.

“Jadi kekadang itu, setiap hari atau setiap dua hari, beliau akan diminta IJN untuk (menjalani sesi rawatan) fisioterapi.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Jadi bagi saya itu satu petanda yang sangat baik dan keadaannya dah banyak pulih berbanding dengan seminggu dua minggu lepas,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Terdahulu beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di D’Sultanaa Bazaar, Jalan Tun Abdul Razak, hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari dan beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut tersebut dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *