PEMINAT bola sepak di seluruh dunia terkejut apabila pemain West Ham United, Kurt Zouma menendang dan menampar kucing Bengalnya dalam video Snapchat yang ‘mengerikan’ di kediamannya di London.
Pemain pertahanan West Ham itu kedengaran sedang ketawa ketika dia mengejar kucing tersebut dalam video yang diambil pada hari Ahad – sehari selepas kemenangan perlawanan Piala FA mereka ke atas Kidderminster Harriers.
Rakaman itu dipercayai dirakam oleh abangnya Yoan, dan menunjukkan Zouma menjatuhkan kucing itu sebelum menendangnya di atas lantai dapur.
Beliau juga mengejar kucing itu di sekitar dapur dan ruang makan di hadapan seorang kanak-kanak, sementara abangnya ketawa sambil merakam.
Dalam klipp berasingan yang diperoleh The Sun, ia menunjukkan pemain antarabangsa Perancis itu membaling sepasang kasut ke arah kucing itu sebelum menamparnya dari tangan seorang kanak-kanak.

Zouma dikatakan marah selepas kucing itu menyebabkan rumahnya bersepah.
West Ham berkata kelab itu akan ‘menguruskan perkara itu secara dalaman’ manakala Zouma berkata dia ‘sangat menyesal’ atas kelakuannya.
Dalam satu kenyataan, Zouma berkata: “Saya ingin memohon maaf atas tindakan saya. Tidak ada alasan untuk kelakuan saya dan saya benar-benar menyesalinya.”
“Saya ingin memberi jaminan kepada semua bahawa kedua-kedua kucing kami berada dalam keadaan yang baik dan sihat. Mereka disayangi oleh keluarga kami,” kata Zouma.
West Ham United berkata kepada The Sun, “Kami mengecam tindakan pemain kami, Kurt Zouma, dalam video yang tersebar. Kami sudah berbincang dengannya dan kami ingin menekankan bahawa kami tidak menyokong sebarang keganasan ke atas binatang.”
Kumpulan-kumpulan kebajikan binatang mengutuk perbuatan Zouma dan boleh menyebabkan pemain Perancis tersebut didakwa.
Seorang jurucakap Royal Society for the Prevention of Cruelty To Animals (RSPCA) berkata, “Ini amat mengecewakan. Perbuatan menendang, memukul atau menampar seekor binatang adalah tidak boleh diterima sama sekali.”
Kesalahan keganasan ke atas binatang boleh membuatkan seseorang dipenjarakan dalam kadar maksima 6 bulan sehingga 5 tahun.
Leave a Reply