SEORANG bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di dada, dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam, di sebuah rumah di Felcra Seri Bandi, Chukai di Kemaman, Terengganu pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10 pagi tadi berhubung kejadian itu.
Katanya bayi itu dilahirkan oleh seorang remaja berusia 15 tahun di rumahnya, dipercayai dengan bantuan seorang rakan, yang kemudiannya bergegas untuk memaklumkan kelahiran bayi itu kepada klinik berdekatan, meninggalkan remaja itu dengan bayinya.
“Namun apabila petugas klinik sampai di rumah remaja itu, mereka ternampak bayi itu mengalami pendarahan dengan kesan kecederaan di dada,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata bayi itu kemudiannya dibawa ke klinik yang terletak kurang 100 meter dari rumah berkenaan dan diberikan bantuan kecemasan, namun disahkan telah meninggal dunia.
“Siasatan awal polis di rumah remaja itu menemukan beberapa peralatan tajam dengan kesan darah. Ketika kejadian, ibu kepada remaja itu tiada di rumah kerana bekerja di Chukai,” katanya.
Hanyan berkata remaja berkenaan juga sudah tidak bersekolah dan dikatakan hanya tinggal bersama ibunya di rumah itu selepas bapanya meninggal dunia.
Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat, manakala remaja berkenaan turut mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama
Leave a Reply