Patuh SOP ubat terbaik lawan Covid-19  – Dr Izani.

RAKYAT Kelantan dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana ia  merupakan ‘ubat’ terbaik untuk melawan jangkitan Covid-19 yang dijangka naik di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia penting kerana setiap kali cuti dan berlaku mobilisasi manusia terutama dari luar Kelantan yang masuk ke negeri itu dalam jumlah yang ramai, secara automatik kes akan merebak, lapor Sinar Harian.

Katanya, itu fakta  yang tidak boleh ditolak memandangkan apabila berlaku pergerakan rentas negeri akan berlaku peningkatan kes.

“Situasi itu dapat dilihat pada peringkat awal jangkitan Covid-19 lagi,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Menurut Izani,  peningkatan berlaku  disebabkan  aktiviti ziarah serta program keramaian yang menyaksikan SOP gagal dipatuhi.

Oleh itu katanya,  kerajaan negeri menjangkakan kes jangkitan Covid-19 di Kelantan terus naik mencanak sekiranya rakyat terus lalai tidak mematuhi SOP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, walaupun jumlah kemasukan ke hospital dan PKRC akibat jangkitan Covid-19 masih rendah namun ia bukan tiket untuk tidak mematuhi SOP.

“Kerajaan negeri berharap rakyat terus mematuhi SOP dalam apa jua keadaan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

“Selain itu, rakyat di negeri ini juga disaran untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah supaya wabak ini segera hilang,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *