Keputusan Warisan sertai PRN Johor pada 15 Februari ini

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Warisan Sabah (Warisan) akan memutuskan untuk bertanding atau sebaliknya dalan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat.

Keputusan itu dijangka diumumkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal semasa Majlis Pelancaran Parti Warisan di Johor di
Taman Sutera Utama, Skudai, Johor Bahru pada 15 Februari ini.

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, keputusan itu akan dibuat Mohd Shafie selepas menilai laporan keperluan menyertai PRN Johor.

“Laporan penilaian tersebut akan saya siapkan pada Isnin dan akan dihantar kepada Mohd. Shafie untuk dinilai dan keputusannya akan diumumkan,” katanya kepada pemberita di Pekan Nanas, Pontian malam tadi.

Katanya, Warisan masih belum didekati oleh mana-mana wakil Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan kerjasama pada PRN Johor kali ini.

Justeru katanya, tiada lagi sebarang perbincangan mahupun sebarang memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan PH.

“Sekiranya Warisan sah menyertai PRN Johor, parti tidak mahu bertembung dengan PH dan hanya berminat untuk memberikan pilihan alternatif kepada pengundi Johor,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu bakal diumumkan Mohd. Shafie bersama-sama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam masa terdekat.

Sebelum itu pada, 23 Januari lalu Warisan dilaporkan masih meneliti sama ada akan membuat kemunculan pertama bertanding di Semenanjung menerusi PRN Johor.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *