Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pengerang yakin menang jika diberi peluang bertanding satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar dan DUN Tanjung Surat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Bersatu Bahagian Pengerang, Mohd. Faizal Asmar berkata, jentera Perikatan Nasional (PN) Pengerang sudah bersiap sedia sejak Ogos 2020 serta yakin dengan penerimaan pengundi Melayu.
Beliau berkata, PN akan memberi saingan sengit untuk menentang BN pada PRN tersebut.
“Tambahan pula, semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri kelapan, beliau telah berjaya membayar hutang-hutang peneroka Felda. Hasil ‘survey’ kami, mereka semua sangat terhutang budi dengan bekas Perdana Menteri itu.
“Oleh itu saya menyeru parti-parti lain (parti Pakatan Harapan) berlapang dada memberi laluan untuk PN memberi saingan sengit kepada BN,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan perebutan kerusi antara UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO memenangi kerusi DUN Penawar dengan majoriti 7,134 undi manakala DUN Tanjung Surat pula dengan 4,522 undi.
Sehubungan itu, Mohd. Faizal berharap Pakatan Harapan (PH) memberi laluan PN bertanding di dua DUN berkenaan dalam PRN Johor.
Jelasnya, perlawanan satu lawan satu antara PN dan BN perlu dilakukan bagi mengelak pertandingan tiga penjuru.
“Parlimen Pengerang ada dua DUN iaitu DUN Penawar dan DUN Tanjung Surat. Semasa PRU-14, kedua-dun DUN ini ditandingi parti pembangkang tetapi malangnya ia kalah teruk dengan BN.
“Kami sedar akan perkara itu dan mengambil iktibar akan kekalahan itu. Ini menunjukkan parti-parti seperti ini masih belum diterima oleh masyarakat melayu di luar bandar.
“Oleh yang demikian kami berharap agar parti-parti ini mengambil sikap memberi laluan kepada PN untuk berlawan dengan BN,” katanya.
Leave a Reply