PEMIMPIN-pemimpin Pas terus membidas tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang layak menjadi ahli Zoologi.
Dalam hantaran melalui Facebook, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid memandangkan Abdul Hadi menggunakan istilah ‘itik patah kaki’ ketika membalas kiasan seorang veteran UMNO yang menyifatkan Pas cuba mengajar itik berenang.
‘’Sewaktu Datuk Seri menulis awal Disember lepas, “Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah…” kami tahu ia ditujukan kepada siapa. Namun kami tidak bingkas membalas kerana kami tahu di dalam UMNO masih terlalu ramai yang sayangkan perpaduan ummah.
‘’Bahkan kenyataan-kenyataan UMNO Terengganu dan UMNO Kelantan sepanjang tahun lepas dan sebelumnya, tidak adapun Pemuda PAS di kedua-dua negeri itu bingkas membalas menyahut dan mencabar, kerana ia hanya akan memanaskan keadaan, kerana masih ramai di kalangan sahabat-sahabat pimpinan UMNO yang tahu menilai erti muafakat.
‘’Namun bila Presiden kami membalas kiasan seorang veteran UMNO yang menyifatkan PAS cuba mengajar itik berenang, hanya sekadar membalas sahaja, bukan mengajar itik berenang tetapi mengubati itik yang kakinya sakit, marah benar Datuk Seri, sehingga mencadangkan Presiden kami lebih baik jadi ahli zoologi. Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa?, ‘’ tanya Ahmad Fadhli.
Beliau juga menyindir Ahmad Zahid dengan berkata, ‘’… Atau Datuk Seri lah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas? Hairan saya, kenapa ada lagi yang mempercayai ucapan Datuk Seri yang terang-terang hanya memperbudakkan pendengar?
‘’Sebenarnya, yang dikehendaki sangat ialah tandatangan di atas sekeping watikah sahaja. Itupun tiada harga jika Datuk Seri berpindah mukim ‘ke dalam’ (penjara),,’’ katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mempunyai kuasa untuk menandatangani watikah menjadi calon bagi mana-mana indivivu yang akan bertanding dalam pilihan raya.
Leave a Reply