Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEPERTI ‘cakap tak serupa bikin’. Itulah gambaran sikap Pakatan Harapan (PH) yang kini telah mengumumkan calon-calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mesyuarat pun lagi.
Sebelum ini ketika belum pasti lagi PRN akan mengambil tempat di Johor selepas Melaka dan Sarawak baru selesai mengundi, rata-rata pemimpin utama atau pun penyokong mereka berkeras dan berkali-kali menolak pelaksanaan PRN.
Tetapi lihat sahaja lah semalam dan hari ini, dalam kata tidak mahu PRN diadakan kerana faktor kesihatan, keselamatan dan pelbagai lagi. Mereka pula yang memulakan paluan gendang pilihan raya seperti kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Untuk rekod, SPR hanya akan bermesyuarat pada Rabu ini, 9 Februari 2022 di Johor Bahru untuk membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti hari penamaan calon, permulaan kempen, pengundian awal dan hari mengundi sebenar.
Kini belum pun lagi kerusi dan meja untuk pengurusan tertinggi SPR bermesyuarat disusun, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sudah ‘cop’ kerusi mereka dan umum awal-awal. Tidak tahu apa sebab sedangkan perbincangan dengan Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) pun belum selesai khabarnya.
Memang tidak ada tercatat dalam mana-mana peraturan atau ‘kitab suci’ yang menyatakan tidak boleh umum calon awal tetapi nampak sangat PH pun sebenarnya tidak sabar untuk menghadapi PRN.
Jika mereka ‘cerdik’ sepatutnya perlu tenang-tenang dahulu sekurang-sekurangnya biar SPR umum tarikh yang sebenarnya. Tidak lah nampak sangat siapa yang gopoh-gapah mahukan pilihan raya walaupun tidak yakin boleh menang.
Barulah rakyat ‘terpedaya’ dengan lakonan ‘tak mahu PRN’. Atau sebenarnya DAP dan Amanah ada agenda lain kerana dalam pengumuman calon itu tidak nampak pula wakil daripada PKR berada sepentas walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim ada sahaja di Johor sejak semalam.
Mengapa tak umum sekali seperti dibuat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu. Adakah sudah tidak ‘sehaluan’ lagi sebenarnya untuk menghadapi PRN Johor kali ini kerana logo pun dah guna asing-asing.
Dalam soal logo, Guan Eng pun semalam ada kata mereka akan menggunakan lambang PH dengan parti-parti yang sehaluan. Pelajar sekolah pun tahu UMNO, Bersatu, Pas, MCA, MIC, Pejuang, Warisan memang tidak sehaluan pun dengan mereka.
Jadi sebenarnya Guan Eng tuju kepada siapa parti yang tidak sehaluan itu. Dalam pengumuman calon PH di Kluang dan Sembrong, dua daripadanya dinamakan mewakili DAP untuk mempertahankan kerusi Paloh dan Mengkibol iaitu Sheikh Umar Bagharib Ali dan Chew Chong Sin.
Tetapi, kerusi Mahkota yang sebelum ini dimenangi Amanah, PH ‘mengimport’ calon dari Pulai Sebatang di Pontian, Muhammad Taqiuddin Cheman untuk menggantikan penyandangnya, Muhammad Said Jonit yang kini sudah ‘memakai’ baju berlogo PKR.
Mengapa PH tidak kekalkan sahaja Muhammad Said. Adakah kerana kerusi Mahkota memang kuota Amanah atau ada sebab lain. Apa pun selamat berjaya kepada calon-calon yang sudah diumumkan akan bertanding. Harapannya muka mereka lah yang muncul pada hari penamaan calon nanti.
Leave a Reply