bekalan telur ayam rosol wahid

Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

BEKALAN telur ayam dalam pasaran di seluruh negara akan pulih pada penghujung bulan ini.

Begitulah jaminan diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu kekurangan bekalan telur ayam dalam pasaran di negara ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu dibuat hasil pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data membabitkan 50 syarikat yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negara ini.

Menurut Rosol, berdasarkan pemantauan sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus kesediaan bekalan telur ayam ada dalam pasaran negara dan jumlah stabil serta mampu memenuhi keperluan harian rakyat.

Beliau berkata, kekurangan telur ayam disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan pembelian sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang dijadikan stok selain masalah logistik di ladang kerana cuti panjang menyebabkan wujud masalah penghantaran.

Justeru katanya, jaminannya adalah pada minggu akhir Februari isu itu akan selesai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani, Kuala Ping, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu memberitahu, selain telur ayam, bekalan ayam mentah yang turut berdepan masalah kekurangan stok atas faktor sama juga dijangka selesai akhir bulan ini.

Ujarnya, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 30 juta biji telur ayam sehari dan 60 juta ekor ayam sebulan di mana data pada Februari menunjukkan kekurangan sebanyak 3 juta ekor ayam tetapi selepas ini pengeluaran ayam dijangka melebihi 60 juta.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *