Zuraida dijangka keluar Bersatu April ini, sertai PBM

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin dijangka keluar parti itu pada April ini dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Menurut laporan FMT, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu akan berbuat demikian sebelum Pilhan Raya Umum ke-15.

Sumber portal berkenaan memaklumkan, Zuraida berkongsi rancangannya itu dengan pimpinan PBM baru-baru ini.

Tindakan Zuraida keluar parti April depan mengambil kira jangkaan kerajaan pimpinan DatuK Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan rang undang-undang antilompat parti ketika itu.

“Antara sebab lain mengapa bulan empat (ialah) kerana Zuraida mahu keluar Bersatu sebelum akta antilompat parti diluluskan,” kata sumber itu.

Pagi tadi, FMT mengesahkan Zuraida dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dianggotai Presiden parti itu Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, pimpinan Bersatu juga dilaporkan menyiasat dakwaan bahawa Zuraida dikaitkan dengan PBM.

Beberapa penyokong dan ‘orang kuat; Zuraida dilaporkan sudah menyertai PBM, namun parti itu menegaskan Zuraida tidak memohon menjadi ahli.

NGO Penggerak Komuniti Negara, yang pernah dikaitkan dengan Zuraida, dalam kenyataan Disember lepas mendakwa ramai ahlinya telah menyertai PBM.

Pengerusi NGO itu, Nor Hizwan Ahmad berkata, mereka memilih PBM bagi menjayakan agenda ‘The Great Reset 2030’.

PBM diketuai bekas Ahli Parlimen PKR, Larry Sng, selaku Presiden dan Timbalannya, Haniza Talha, yang juga bekas ahli PKR.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *