MBPP beri notis tunjuk sebab kepada peniaga bergaduh rebut pelanggan di Padang Kota Lama

DUA peniaga yang terlibat dalam  pergaduhan di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang sehingga tular dalam media sosial 2 Februari lalu telah diberikan notis tunjuk sebab oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

MBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua peniaga itu perlu memberikan penjelasan berhubung kejadian tersebut dalam tempoh tujuh hari atau sehingga 10 Februari ini.

Menurutnya, MBPP berasa amat kesal dengan kejadian pergaduhan itu dan peniaga terlibat  perlu memberi penjelasan berhubung kejadian tersebut.

Tambahnya, insiden itu tidak seharusnya berlaku dan MBPP selaku pemiik kompleks makanan berkenaan amat memandang serius kejadian tersebut.

“Siasatan dalaman serta tindakan susulan juga telah diambil dan tarikh akhir bagi peniaga berkenaan untuk membalas surat tun tersebut adalah pada 10 Februari ini.

“Penjelasan daripada kedua-dua peniaga akan diambil maklum oleh MBPP dalam Mesyuarat Jawatankuasa Majlis untuk keputusan dan tindakan lanjut tanpa sebarang prasangka,” katanya.

Dalam pada itu tambah MBPP, pihaknya tidak akan bertoleransi dan berkompromi dengan apa-apa tindakan yang akan mengganggu ketenteraman awam atau merosakkan keharmonian di kawasan awam dan kemudahan yang disediakan oleh MBPP. 

Jelasnya, MBPP juga tidak membenarkan mana-mana peniaga di dalam kompleks milik MBPP untuk memonopoli mana-mana ruang atau meja yang disediakan untuk kepentingan persendirian.

“Orang awam adalah bebas untuk memilih tempat duduk mereka dan membuat pesanan atau membeli makanan dan minuman dari mana-mana gerai yang mereka suka,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, insiden pergaduhan tercetus di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama yang merupakan lokasi tumpuan pelancong dengan videonya turut tular di dalam media sosial.

Polis Pulau Pinang kemudiannya mengesahkan kejadian itu dengan siasatan awal mendapati ia disebabkan perebutan pelanggan dan dendam lama antara dua peniaga di medan selera berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *