PENEMUAN mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Pulau Pinang awal pagi tadi membongkar satu kejadian pembunuhan di dalam salah sebuah unit rumah di pangsapuri terbabit.
Lelaki itu dipercayai bertindak menikam isterinya sehingga maut sebelum terjun dari tingkat 12 pangsapuri berkenaan dan dijumpai orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, lelaki berusia 54 itu dipercayai bertindak menikam isterinya yang berusia 46 tahun selepas berlaku salah faham antara mereka.
Bagaimanapun tambahnya, kejadian itu hanya terbongkar beberapa jam kemudian apabila ibu kepada mangsa wanita memaklumkan gagal menghubungi anaknya yang merupakan isteri kepada lelaki berkenaan.
Kata beliau, polis kemudiannya ke rumah mangsa di tingkat 12 sebelum mendapati wanita berkenaan dalam keadaan berlumuran darah di atas katil di dalam bilik.
“Hasil pemeriksaan ke atas mayat mendapati ada dua kesan tikaman pada leher dan paha mangsa selain penemuan pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek menikam isterinya sebelum bertindak terjun,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Saravanan, pasangan itu yang bekerja kilang mempunyai anak berusia 18 tahun yang ketika kejadian berada di rumah neneknya di Air Itam.
Dalam pada itu, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Leave a Reply