Calon pertama PRN Johor, Sheikh Umar pertahankan DUN Paloh

Oleh RAHIMI MOHAMAD

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali kekal mempertahankan kawasan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang bagi mewakili Pakatan Harapan (PH).

Pencalonan Naib Pengerusi DAP itu diumumkan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng sekali gus menjadi calon pertama yang mengesahkan penyertaan dalam PRN berkenaan.

Sheikh Umar ketika berucap mengakui pencalonannya dilihat bukan perkara yang mudah, namun percaya dengan semangat dan komitmen jentera dalam mempertahankan kerusi itu.

“Saya bercampur-baur perasaan, nak kata gembira pun boleh jadi juga, nak kata panik pun ya juga tetapi saya rasa kuat dan bersemangat di sini kerana ada rakan-rakan pemimpin yang membantu,” katanya.

Sheikh Umar dilihat berdepan laluan sukar di Paloh apabila hanya meraih 783 majoriti undi mengatasi pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), Teoh Yap Kun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau mendapat 8,958 undi, manakala Yap Kun pula 8,175 undi sementara seorang calon bebas, M. Shamugam yang menggunakan simbol gajah telah hilang wang deposit apabila hanya memperoleh 61 undi.

Sementara itu kata Guan Eng, pemilihan calon berusia 36 tahun itu bukan sahaja dibuat berdasarkan rekod kemenangannya dalam lalu namun prestasi ketika menjadi Exco kerajaan negeri.

“Sebagai calon mewakili PH, Sheikh Umar menunjukkan Paloh adalah paluan gendang pertama untuk PRN Johor di mana kita umumkan niat untuk berkhidmat kepada rakyat dan negeri Johor supaya kita ada harapan yang lebih baik.

“Dengan matlamat bukan sahaja untuk menang kerusi DUN ini tetapi berjaya menjadi kerajaan negeri supaya beliau boleh kembali sekali lagi sebagai Exco kerajaan Johor,” katanya ketika melancarkan Bilik Gerakan Pilihanraya dan pengumuman Calon PH N.30 DUN Paloh, hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *