Oleh RAHIMI MOHAMAD
ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) mencadangkan 30 peratus daripada calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mestilah dalam kalangan anak muda.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, kuota itu juga merangkumi calon anak muda daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Pada masa sama katanya, Armada menyasarkan sekurang-kurangnya lima calon daripada sayap itu akan dipertaruhkan PN dalam PRN Johor bagi memastikan keseimbangan pembahagian kerusi.
“Kita telah menerima cadangan-cadangan daripada Armada bahagian seluruh Johor untuk dipertimbang oleh Biro Politik Bersatu termasuk soal calon, kuota dan kerusi-kerusi yang kini sedang diteliti.
“Dalam konteks Johor, lima kerusi yang kita cadangkan untuk calon Armada bertanding meliputi kawasan bandar dan luar bandar, namun kita akan akur terhadap apa sahaja yang akan diputuskan parti dan PN,” katanya.
Wan Ahmad Fahysal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Armada Bahagian Johor di Pejabat Bersatu Pagoh, Muar, hari ini.
Sebelum ini, Srikandi Bersatu turut berharap agar 30 peratus calon wanita dari parti berkenaan bertanding dalam PRN Johor akan datang.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, walaupun dasar kuota wanita sama ada dalam parti politik, agensi dan sebagainya adalah sebanyak 30 peratus tetapi pihaknya mahukan lebih ramai wanita dalam kepimpinan parti.
Dalam pada itu, menurut Wan Ahmad Fahysal, selain proses undi pos kepada mereka yang menetap di Singapura, peluang itu juga perlu diperluas kepada mereka yang menetap di negara-negara lain.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) haruslah mempermudah urusan mengundi untuk mereka yang berada di luar kawasan.
“Untuk jangka sederhana dan panjang, kerajaan melalui SPR perlu menggunakan teknologi terkini bagi memudahkan proses mengundi termasuk menggunakan opsyen bagi mengundi dalam talian,” katanya.
Katanya, peratusan keluar mengundi yang tinggi adalah penting agar mandat rakyat yang jelas dapat dicapai, tidak seperti yang diharapkan oleh sesetengah pihak yang ingin menafikan hak rakyat.
Malah katanya, SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mesti mempertimbang kelonggaran prosedur untuk berkempen khususnya ceramah, rapat umum dan rayuan undi dari rumah ke rumah selari dengan transisi yang sedang berlaku daripada fasa pandemik kepada endemik bagi wabak Covid-19.
Leave a Reply