PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu, peratusan keluar mengundi yang rendah telah memberi kelebihan kepada UMNO dan sekutunya dan membawa kepada kemenangan Barisan Nasional.
Keadaan yang sama, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan akan berlaku di Johor di mana peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya dan bakal berlangsung akan memberikan keuntungan kepada UMNO.
Jelasnya, keadaan itu boleh dilihat dalam keputusan PRN Melaka yang sekali gus menyaksikan kemenangan selesa UMNO, susulan daripada peratusan pengundi yang rendah.
“Di Melaka, apabila pengundi luar tidak balik ke negeri sendiri, yang menangnya adalah mereka (UMNO) sebab dia ada orang yang tradisinya (pengundi teras) duduk dalam lokaliti tersebut.
“Yang atas pagar dan sokong kita serta mahukan perubahan dan pembaikan dalam negara mungkin bekerja di tempat lain dan mereka tidak cukup masa atau mungkin ada sekatan yang menyebabkan mereka tidak dapat nak balik. Jadi, itulah realitinya, apabila peratusan keluar mengundi rendah, yang untungnya UMNO,” katanya pada majlis Jelajah Penerangan Isu-Isu Semasa Negeri Johor di Muar, Johor yang disiarkan secara langsung di Facebook Bersatu Malaysia, malam tadi.
Menurut Wan Saiful, mesej yang positif sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu menang dalam PRN tersebut.
Justeru, katanya, jentera pilihan raya parti perlu berusaha untuk memastikan kepulangan pengundi luar untuk mengundi dalam PRN Johor.
“Selain dekati pengundi sedia ada, jentera kita mesti pastikan pengundi luar balik untuk mengundi (PRN Johor).
“Kita kena tarik mereka (pengundi luar), Armada boleh fokus terhadap anak muda Manakala, Srikandi pula pada wanita,” katanya.
Pada masa sama, Wan Saiful berkata, keputusan yang diperolehi dalam PRN Johor bakal memberikan implikasi di peringkat Persekutuan.
“Walaupun yang kita hadapi ini adalah PRN Johor tetapi implikasinya adalah di peringkat Persekutuan. Walaupun yang dibubarkan ini DUN Johor tetapi sasaran sebenar (UMNO) adalah Parlimen dan kerajaan di Putrajaya.
“Sebab itulah kita kena letak keutamaan yang betul dalam diri dan perjuangan kita,” katanya.
Leave a Reply