muhyiddin yassin kerusi PN

Najib perlu henti politik jelik, putar belit fakta PRN Sabah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa pengkhianatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi punca Muafakat Nasional (MN) gagal.

Presiden Bersatu itu menegaskan, dakwaan Najib yang menuduh Bersatu meletakkan calon melawan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan itu adalah satu perbuatan khianat kepada UMNO, adalah tidak benar sama sekali.

“Sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, saya telah mempengerusikan beberapa mesyuarat yang dihadiri pimpinan PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menetapkan pembahagian kerusi bagi PRN Sabah.

“Saya telah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat-mesyuarat ini penting untuk PN, BN dan PBS mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Sabah.

“Saya juga pada waktu itu telah mengarahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung PN untuk membentuk jawatankuasa pembahagian kerusi antara parti PN, BN dan PBS dengan satu arahan yang jelas bahawa semua parti mesti mengelakkan pertembungan sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Katanya, perincian pembahagian kerusi dibincangkan di peringkat jawatankuasa itu dan antara yang terlibat mewakili PN dan BN ialah Hamzah, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Datuk Seri Hajiji Noor.

Pihaknya dimaklumkan di peringkat awal, jawatankuasa itu telah memutuskan sejumlah kerusi untuk ditandingi PN, BN dan PBS tetapi BN kemudian menambah jumlah kerusi yang hendak ditandingi dan ini menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa tempat.

Jelasnya, bagi pihak PN, kerusi yang terlibat adalah kerusi-kerusi yang ditandingi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan bukan Bersatu serta di beberapa tempat berlaku pertembungan antara BN dan PBS.

PBS juga meletakkan calon- di kerusi-kerusi yang ditandingi STAR menyebabkan berlaku pertembungan antara PBS dan PN, katanya.

“Melihat keadaan ini, saya telah pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir bagi mengelakkan pertembungan sesama parti-parti PN, BN dan PBS. Saya mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil parti PN, BN dan PBS.

“Malangnya, mesyuarat ini gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti rakan yang lain.

“Pada saat ini, Bersatu adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan-rakan dalam PN, BN dan PBS,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

Pas pula katanya, mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi dalam PRN Sabah.

“Jadi saya tidak faham dengan tuduhan Datuk Seri Najib bahawa Bersatu mengkhianati UMNO dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang UMNO dan itu menjadi punca MN gagal,” katanya.

Mengenai calon Ketua Menteri Sabah pula, beliau berkata, pihaknya menyatakan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya menamakan calon Ketua Menteri Sabah daripada UMNO tetapi Presiden UMNO itu tidak menamakan sesiapa pun sehingga kempen PRN Sabah berakhir.

“Kerana itu saya telah menamakan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai calon Ketua Menteri Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi, ini menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS.

Maka PN katanya, telah mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencalonan ini dipersetujui semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS termasuk UMNO.

“Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu UMNO supaya menamakan calon. Sekiranya UMNO tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan UMNO.

“Datuk Seri Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab MN gagal. Saya fikir Datuk Seri Najib elok ambil masa memuhasabah diri.

“Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.

“Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya dalam UMNO, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai ‘national embarrassment’ oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan malu apa bossku.

“Di mana letaknya keimanan? Di mana maruah,” soal beliau dan memberitahu sudah lupakan MN, jadi tidak perlu diungkit-ungkit lagi.

Bersatu katanya, telah buat keputusan untuk tidak menyertai MN dan UMNO pun telah buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

“Jadi apa lagi yang hendak diungkit? Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.

“Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *