DUA mangsa rentung dalam kemalangan maut melibatkan tiga mangsa yang menaiki kenderaan jenis Honda HRV di Jalan Wakaf Bharu Palekbang, Tumpat awal pagi tadi.
Memetik laporan BH, kenderaan terbabit dipercayai terbabas sebelum terbakar,
Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri, salah seorang daripada mangsa ialah lelaki berumur 33 tahun.
Beliau menambah, identiti dua lagi mangsa yang rentung sedang dikenal pasti.
Mohd Azmir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Honda HRV berkenaan dalam perjalanan dari Cabang Tiga Kepulau menghala ke Wakaf Bharu.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta itu dipercayai terbabas menyebabkan seorang daripada mereka tercampak keluar beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dua lagi rakannya rentung dalam kereta yang sedang terbakar dan kita sedang mengena pasti identiti mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, kejadian itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta terbakar iaitu jenis Proton Wira milik penduduk kampung yang diletakkan berhampiran serta sebuah rumah kosong yang mengalami 30 peratus kebakaran.
Kata Mohd Azmir, semua mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan menjelaskan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.04 pagi.
“Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak dan kelihatan seorang mangsa berada beberapa meter sahaja dari kereta itu dan sudah meninggal dunia manakala dua lagi masih dalam kenderaan yang sedang terbakar.
“Kereta itu dipercayai terbabas sebelum terbakar dan turut terlanggar tiang garaj sebuah rumah kosong yang menyebabkan rumah itu turut mengalami kebakaran 30 peratus manakala sebuah kereta Proton Wira milik seorang penduduk juga hangus.
“Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.35 pagi,” ujarnya.
Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, tiga lelaki yang maut tersebut dipercayai terlibat dengan kes samun sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger sebelum kemalangan berlaku.
Mohd Azmir berkata, siasatan awal polis mendapati kenderaan Honda HRV tersebut dinaiki oleh empat lelaki yang kemudian telah pergi ke sebuah rumah di Kampung Palekbang.
“Salah seorang daripada penumpang Honda HRV itu kemudian bertindak melarikan sebuah kenderaan Ford Ranger dari rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau memberitahu, pemilik Ford Ranger itu yang mendengar bunyi enjin kenderaan tersebut dihidupkan kemudian keluar untuk melakukan pemeriksaan.
Mohd Azmir menambah, pada masa yang sama, seorang lagi penumpang Honda HRV itu telah keluar lalu melibaskan senjata tajam ke arah pemilik kenderaan tersebut.
Menurut beliau, salah seorang suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dicuri itu manakala tiga lagi lelaki melarikan diri dengan menaiki Honda HRV terbabit.
“Pemilik Ford Ranger itu kemudian bertindak mengejar suspek yang melarikan pacuan empat rodanya menggunakan kereta jenis BMW.
“Honda HRV dinaiki tiga suspek yang melarikan diri itu kemudian terbabas dan melanggar tiang sebuah rumah di Kampung Morak di sini semasa dikejar,” katanya.
Mohd Azmir berkata, Honda HRV yang terbabas itu kemudiannya terbakar namun pemilik pacuan empat roda berkenaan terus mengejar kenderaannya sehingga ke Kubang Kerian sebelum Ford Ranger itu terbabas di hadapan pejabat Pos Kubang Kerian, Kota Bharu.
Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis turut mengesan suspek yang berjaya melarikan diri itu,” jelasnya.
Leave a Reply