Oleh RIZQI ZABIDI
UMNO Kedah langsung tidak mempunyai perancangan mahu pun terfikir untuk melakukan gerakan bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah ketika ini.
Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz (gambar utama), pihaknya sentiasa menghormati ketetapan awal untuk membiarkan kerajaan negeri sedia ada berjalan seperti biasa hingga tiba Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya boleh ‘confirm’ tak ada percaturan membawa PRN ke Kedah. Pergerakan ke arah itu tak ada dan cakap-cakap menjurus ke situ pun tak ada dari pihak kami.
“Pada UMNO tiada keperluan untuk PRN di Kedah. Kami sentiasa hormati ketetapan awal untuk membiarkan kerajaan negeri sedia ada berfungsi seperti biasa hingga PRU akan datang,” katanya kepada Warta Rakyat di Alor Setar, hari ini.
Baru-baru ini timbul spekulasi menyatakan Kedah bakal menjadi negeri ketiga untuk diadakan PRN selepas Melaka dan Johor.
Spekulasi tersebut bagaimanapun tidak disahkan oleh mana-mana pihak dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam turut menyatakan pandangannya bahawa tiada keperluan untuk PRN diadakan di Kedah.
Mengulas lanjut katanya, cakap-cakap berhubung perkara itu hanyalah satu bentuk gosip liar yang tidak sepatutnya dilayan.
“UMNO tak ada ‘bergerak’ untuk adakan PRN. Desas-desus ini mungkin timbul disebabkan ada pihak mengadu-domba, semata-mata mahu melihat ketidak stabilan dalam politik Kedah,” katanya.
Leave a Reply