sampah pulau burung terbakar

Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

LEBIH 11 hektar daripada kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di Nibong Tebal yang terbakar sejak 12 Jan lepas akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkongsi perkara itu di Facebooknya dan memaklumkan operasi pemadaman di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut telah berjaya dipadamkan semalam.

Menerusi hantarannya, Reezal Merican berkata, kejayaan itu disempurnakan dengan kerjasama semua pihak dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi persekutuan serta negeri dalam proses pemadaman kebakaran terbabit.

“Alhamdulillah, misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi Persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang ketika ini akan terus memantau kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut.

“Selain memantau titik panas, pihak JAS turut membuat pemantauan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat untuk penduduk di kawasan tersebut pulang semula ke rumah mereka,” katanya.

Katanya, ketika ini IPU di situ mencatatkan tahap sederhana namun angkanya semakin baik dari semasa ke semasa iaitu 74 direkodkan pada 7 pagi hari ini manakala pada 10 pagi is mencatatkan bacaan IPU 73. Pada Isnin, 98 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan berjaya dipadamkan dengan bakinya melibatkan sektor 5 sahaja.

Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang pada 12 Jan lepas dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Jan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *