Ramasamy akui kekuatan PH kian pudar

PAKATAN Harapan (PH) kini berada dalam keadaan lemah dan bergelut untuk mendapatkan semula rentak dan momentum politiknya yang kian hilang dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Mengakui hakikat ini, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy berpendapat, PH termasuk partinya sendiri DAP, sedang berjuang untuk mendapatkan semula kedudukan dan momentum lamanya.

“Kekuatannya sedikit sebanyak berkurangan dalam PRN Melaka dan Sarawak. Dalam kedua-dua pilihan raya itu, kerusi DAP dikurangkan kepada kira-kira separuh manakala PKR kalah semuanya, manakala Amanah berjaya memenangi hanya satu kerusi di Melaka.

“Ia akan menjadi satu perjuangan yang sukar bagi PH untuk kembali kepada kekuatan dan daya tahan yang dimiliki sebelum pilihan raya umum 2018,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ramasamy juga merasakan memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah isu yang lebih berpengaruh berbanding logo yang digunakan oleh parti PH.

“Adalah dipersetujui dalam PH bahawa PKR akan menggunakan logo partinya sendiri manakala DAP dan Amanah akan menggunakan logo gabungan.

“PKR memandangkan prestasi buruknya pada PRN Melaka dan Sarawak berpendapat, perubahan logo itu mungkin disenangi pengundi Melayu atas alasan logo PH dibayangi era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 bulan,” katanya.

Ramasamy dalam masa menyatakan kepercayaan kemenangan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan memberikan UMNO keyakinan untuk mendesak pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat.

Ramasamy berkata, keputusan PRN Melaka baru-baru ini dan pilihan raya kecil terdahulu memberi keyakinan kepada UMNO bahawa parti itu boleh bertanding sendirian dengan parti komponen BN yang lain, dan tidak memerlukan Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“PRN Johor akan datang akan mendapat perhatian ramai dan keputusannya mungkin meramalkan apa yang boleh berlaku dalam PRU akan datang. Saya berpendapat gesaan untuk PRN Johor adalah didalangi UMNO.

“Malah, parti itu mahu menguji popularitinya di Johor sebelum mendesak kerajaan Pusat supaya mengadakan PRU. Jika UMNO/BN memenangi PRN, momentum untuk menggesa PRU awal akan dipertingkatkan,” jelas Ramasamy.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu juga menolak penafian pemimpin UMNO bahawa desakan untuk pilihan raya awal tiada kaitan dengan pertuduhan mahkamah terhadap pemimpin kanan parti seperti Datuk Seri Najib Razak dan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Populariti adalah satu perkara, tetapi UMNO mahu memastikan pilihan raya dapat diadakan cukup awal sebelum mahkamah membuat keputusan terhadap mereka yang didakwa atau disabitkan kesalahan rasuah,” tambah Ramasamy


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *