Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGUNDI baharu khususnya pengundi muda 18 tahun ke atas ibarat ‘game changers’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sukar untuk meramalkan pihak mana yang akan menang dalam PRN Johor kerana situasinya tidak sama dengan mana-mana pilihan raya sebelum ini.
“Bagi PRN Johor tidak ada siapa yang boleh jadi ‘Nujum Pak Belalang’ meramal mana parti politik boleh menang mudah dengan memperoleh sekian-sekian banyak kerusi. Kehadiran lebih 2.57 juta pengundi khususnya pengundi muda 18 tahun ke atas ibarat ‘game changers’.
“Segala ‘score-sheets’ Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, PRU-13 dan PRU-14 sudah tidak relevan lagi.
“Jadi panduan umum bolehlah tetapi tidak lagi terpakai apabila beribu-ribu pengundi muda dan pengundi daftar automatik membanjiri setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Janyar lalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk PRN.
Selain itu, beliau berkata, penyertaan banyak parti politik dalam PRN itu menunjukkan tidak wujud kebimbangan atau risiko penularan Covid-19 sekali gus menunjukkan pertandingan dua pihak iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah tidak wujud lagi.
Menurutnya, PRN Johor berkenaan merupakan pilihan raya pelbagai parti yang akan mewujudkan resepi ‘rojak’ bagi politik Malaysia dan sama ada baik atau buruk akan disaksikan nanti.
“Benarlah anggapan saya bahawa PRN Johor ini semacam ‘raptai’ kepada parti-parti politik bagi menghadapi PRU-15 sama ada pada tahun ini atau selewat-lewatnya Mei 2023 tahun hadapan,” katanya.
Leave a Reply