SEBUAH kilang berasaskan makanan di Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang dikompaun sebanyak RM10,000 semalam selepas didapati mencemarkan parit awam sehingga menyebabkan berlakunya fenomena air sungai berwarna putih.
Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang terbabit disiasat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung keadaan sungai terbabit.
Jelasnya, sekumpulan pegawai kemudiannya menjalankan siasatan bagi menjejak punca pencemaran tersebut menggunakan dron di sekitar kawasan yang disyaki terlibat.
“Siasatan mendapati kilang itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009 kerana gagal mengendalikan sistem pengolahan efluen perindustrian dengan baik sehingga mencemarkan parit awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Sharifah Zakiah, kilang itu juga didapati gagal mematuhi pengurusan buangan terjadual di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) (BT) 2005.
Sehubungan itu tambahnya, pihaknya telah mengarahkan pemilik premis mengambil tindakan serta-merta memberhentikan sebarang pelepasan efluen tanpa dirawat dan menutup semua pintasan yang dipasang secara haram di dalam premis kilang untuk mengalirkan air sisa tanpa rawatan terus ke parit awam.
“Pihak kilang juga diarah menaik taraf sistem pengolahan efluen sedia ada dan buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan berkaitan di bawah Peraturan Buangan Terjadual 2005,” katanya.
Tambah beliau, JAS Pulau Pinang berterima kasih kepada orang awam yang membuat aduan dan membekalkan maklumat yang tepat dan cepat bagi memudahkan tindakan diambil pihaknya.
Leave a Reply