Kapal tangki dari Panama ditahan bersauh secara haram

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

WALAUPUN setiap minggu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor melakukan tangkapan terhadap kapal dagang asing yang mencoroboh perairan Johor timur di sini, tindakan itu seakan tidak memberi kesan.

Terbaharu Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki dari Panama yang disyaki bersauh secara haram pada kedudukan 11.6 batu nautika timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki sepanjang 243 meter itu telah ditahan pada pukul 1 petang bersama-sama kru warga asing.

“Kapal tangki itu dikendalikan 24 kru termasuk nakhoda, terdiri dari warga Ukraine, India dan Rusia berumur di antara 21 tahun hingga 49 tahun, serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Anggota maritim melakukan pemerisaan ke atas kapal tangki sepanjang 243 meter itu yang ditahan pada pukul 1 petang bersama-sama kru warga asing

“Nakhoda didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan turut memberikan alasan menunggu arahan perlayaran seterusnya dari pihak syarikat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

Beliau menasihatkan syarikat perkapalan agar mengambil serius mengenai prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di mana-mana perairan di Malaysia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *