KEGIATAN aktif pembalakan haram di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau berjaya dihentikan oleh Jabatan Hutan Sarawak semasa melakukan rondaan penguatkuasaan di Sibu semalam.
Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad berkata, Pejabat Hutan Wilayah Sibu merampas kayu-kayu balak tersebut untuk siasatan lanjut serta membuat laporan polis di Balai Polis Selangau.
“Apabila tiba ke lokasi berkenaan, pasukan penguatkuasaan ini telah menjumpai tujuh longgok kayu balak yang sebanyak 717 batang kayu balak pelbagai spesies dan saiz dipercayai telah ditebang secara haram kerana tidak mempunyai tanda Tukul JH, Tukul Hak Milik dan Tag LPI pada kedua hujung kayu balak berkenaan.
“Satu kertas siasatan berkaitannya akan dibuka dalam waktu terdekat agar pihak yang terlibat tidak terlepas begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nilai rampasan keseluruhan kayu balak tersebut belum dapat dipastikan sehingga siasatan lanjut berkaitannya dilaksanakan.
Hamden menegaskan pihaknya akan terus melakukan rondaan penguatkuasaan tanpa mengira cuti umum atau hujung minggu bagi mematahkan cubaan kegiatan haram ini.
Leave a Reply