SAMBUTAN Tahun Baru Cina bagi dua keluarga di Taman Permai Jaya, Sibu menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pukul 1 pagi tadi.
Selain dua rumah itu, turut terjejas dua lagi unit kediaman di rumah teres dua tingkat bersebelahan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada mulanya bomba menerima panggilan berhubung kebakaran kenderaan di garaj salah sebuah rumah itu pada pukul1.13 pagi.
“Seramai 28 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sentral Sibu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.
“Sejurus tiba di lokasi, didapati api masih marak dan kebakaran kereta itu sudah merebak ke rumah pemiliknya serta dua lagi rumah bersebelahan.
“Kebakaran itu turut merebak ke rumah keempat namun berjaya dikawal menyebabkan kerosakan rumah terbabit hanya dalam lingkungan lima peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jiran pada mulanya berusaha memadam kebakaran kereta di garaj rumah teres itu menggunakan alat padam api jenis debu kering, namun usaha mereka gagal.
“Api kemudian terus marak dan menyambar rumah itu sebelum merebak ke sebuah rumah di sebelah kanan dan kemudiannya melarat ke dua lagi rumah di sebelah kiri.
“Dua rumah yang mengalami kerosakan teruk didiami penghuni berbangsa Cina dengan sebuah daripadanya musnah 70 peratus, sebuah lagi 30 peratus manakala dua lagi rumah yang didiami penghuni Melayu mengalami kerosakan 10 peratus dan lima peratus,” katanya.
Menurutnya, semua 25 penghuni empat rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kebakaran kenderaan itu yang kemudian merebak ke rumah,” katanya.
Leave a Reply