Banjir termenung di Marudi jejaskan sambutan Tahun Baharu Cina

BANJIR termenung membuatkan perayaan Tahun Baharu Cina di bandar Marudi, Kuching suram dan hambar, hari ini.

Ini susulan sebahagian besar jalan raya di pekan berkenaan dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

Pekan Marudi mula dinaiki air 26 Januari lalu akibat limpahan air Sungai Batang Baram selepas hujan lebat di kawasan hulu sungai.

Beberapa penempatan penduduk terjejas sehingga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Suarah Marudi pada jam 4 petang, Sabtu lalu.

Ketika ini, seramai 31 penduduk daripada lapan keluarga dari Kampung Padang Kerbau dan Jalan Wawasan Kampung Cina Marudi, masih ditempatkan di PPS berkenaan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya terus memantau keadaan banjir di Marudi termasuk membuat tinjauan udara hari ini.

Tinjauan itu dijalankan Unit Udara Bomba Wilayah Sarawak yang berpangkalan di Miri.

“Hasil tinjauan pada 12.30 tengah hari tadi mendapati beberapa kawasan sekitar pekan Marudi masih ditenggelami air namun pada aras yang terkawal,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *