SEBANYAK 98 peratus dari keseluruhan 11.3 hektar kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terbakar hampir tiga minggu lalu berjaya dipadamkan sehingga kini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejayaan operasi pemadaman itu adalah hasil usaha sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.
Tambahnya, berdasarkan perkembangan semasa dan untuk memastikan sumber yang ada diuruskan secara optimum, gerak kerja pengurusan bencana akan diteruskan dan diselaraskan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Jelasnya, gerak kerja agensi-agensi di lapangan juga masih diteruskan sehingga pengurusan bencana itu selesai.
Ujarnya, jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JAS) Pulau Pinang juga akan meneruskan kerja-kerja pemantauan kualiti udara sehingga berpuas hati bacaan kualiti udara yang stabil diperolehi.
“Justeru, Pusat Media Bencana Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berpusat di Dewan Serbaguna Jawi akan ditutup mulai 3 Februari 2022 (Khamis).
“Namun, sekiranya terdapat perkembangan terkini pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (JPBD) SPS akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu tambah kenyataan itu, penduduk di sekitar daerah SPS terus dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.
Sekiranya bergejala seperti sesak nafas dan tidak sihat katanya, mereka dinasihatkan terus mendapatkan rawatan di klinik-klinik dan hospital berhampiran.
Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu mula dikesan petang 12 Januari lalu sehingga mengeluarkan asap tebal dan hitam.
Bencana itu juga menyebabkan 400 penduduk daripada kira-kira 90 buah keluarga yang tinggal di dua kawasan berhampiran tapak tersebut diarahkan berpindah dengan sebahagiannya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Leave a Reply