POLIS Colombia berjaya menggagalkan cubaan menyeludup cecair kokain yang diletakkan di dalam 20,000 biji buah kelapa ke Genoa, Itali di Cartagena, Colombia.
Taktik penyeludupan itu terbongkar apabila Unit Nakrotik Pejabat Pendakwaraya Kebangsaan Colombia yang bekerjasama dengan pasukan khas polis melakukan pemeriksaan ke atas buah kelapa berkenaan yang dimasukkan ke dalam 504 beg kanvas.
Melalui pemeriksaan itu mereka mendapati air kelapa telah dibuang manakala cecair lain disuntik ke dalamnya.
“Semasa pemeriksaan, kami mendapati bahawa air di dalam buah tropika tersebut dikeluarkan dan diisi dengan cecair kokain,” kata pihak pendakwa raya Colombia dalam satu kenyataan.
Buah kelapa yang dirampas itu dihantar ke makmal untuk pemeriksaan bagi menentukan kuantiti tepat dadah yang dimasukkan.
Tiada tangakapan dilakukan setakat ini namun pendakwa raya yang terlibat dalam operasi tersebut berkata mereka akan mencari lebih banyak maklumat untuk menentukan dari mana datangnya penghantaran tersebut dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Pihak berkuasa Colombia kini bekerja rapat dengan pihak berkuasa Itali di Genoa bagi mengenalpasti dalang di sebalik rangkaian penyeludupan dadah ke Eropah.
Leave a Reply