Oleh RIZQI ZABIDI
Rakyat dinasihatkan untuk tidak menyembunyikan maklumat sekiranya didapati positif COVID-19 atau menjadi kontak rapat terutama pada musim perayaan.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, ini kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut membahayakan sanak saudara serta sahabat handai.
“Hari perayaan adalah masa untuk kita meluangkan masa mengeratkan kembali hubungan silaturahim sesama keluarga dan rakan-rakan yang lama berjauhan.
“Justeru, adat ziarah menziarahi sesama sanak saudara serta sahabat handai wajar diteruskan bagi mengeratkan silaturahim asalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dititikberatkan oleh semua.
“Sekiranya tidak dapat berbuat demikian secara bersemuka, gunakanlah manfaat daripada kecanggihan teknologi komunikasi kini yang dapat memungkinkan perhubungan dilakukan secara jarak jauh,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Bakar Din, hari ini.
Sementara itu, Sultan Sallehuddin serta Sultanah Maliha Tengku Ariff turut menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina Tahun 2022 kepada semua rakyat berbangsa Tiong Hua khususnya di Kedah.
Baginda bertitah, mereka yang turut mengambil kesempatan melakukan perjalanan sempena cuti perayaan ini agar berhati-hati di jalan raya dan patuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Kita tidak mahu ketibaan kita dinantikan dengan sendu tangis, tetapi kita mahu ketibaan kita di destinasi disambut dengan perasaan gembira dan selamat,” titah baginda.
Baginda juga bertitah agar semua pihak penyedia perkhidmatan utiliti di negeri ini turut mengambil langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat masing-masing tidak terganggu di musim perayaan ini.
“Pastikan semua aset dan medium yang digunakan untuk menyampaikan perkhidmatan berada dalam keadaan baik dan diselenggara mengikut jadual agar tiada aduan gangguan perkhidmatan dilaporkan,” titah baginda.
habis
Leave a Reply