Pengundi Johor di Singapura…mana suara UMNO?

itik patah kaki

ANALISIS

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KETIKA ini pelbagai parti politik mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan sesuatu agar undi rakyat negeri Johor yang kini berada di Singapura tidak dilupakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekitar Mac ini.

Bukan sedikit tetapi dianggarkan sekitar 200,000 pengundi berdaftar berada di negara republik itu untuk mencari rezeki dan mereka sudah tentu tidak dapat pulang untuk mengundi disebabkan faktor pintu sempadan yang masih ditutup untuk ulang-alik harian.

Pelbagai cadangan dilontarkan beberapa pihak termasuk membuka saluran undi pos kepada mereka. Tidak kurang juga yang meminta satu laluan khas seperti inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat disediakan kepada mereka yang mahu pulang mengundi.

Begitulah berharganya setiap satu undi daripada 2.59 juta keseluruhan pengundi yang layak memilih dalam PRN ke-15 nanti.

Tetapi dalam kekalutan parti-parti politik mendesak perkara itu tidak kedengaran pula suara satu parti yang mempunyai ahli teramai ketika ini apatah lagi menerusi sayap Pemuda atau Puteri mereka yang sepatutnya bersama-sama menjuarai isu itu.

Umum sudah mengetahui, UMNO atau Barisan Nasional (BN) sangat tidak berharap mereka yang berada di luar Johor sekarang pulang mengundi termasuk pengembara di Singapura kerana hal itu sudah tentu mengacau strategi mereka yang mahu peratusan keluar mengundi rendah.

Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan pun ada menyatakan mereka akan menang besar di Johor sekiranya peratusan keluar mengundi rendah sama seperti yang berlaku di Melaka, November tahun lalu.

Jadi tidak hairan mengapa tiada langsung suara daripada parti itu atau parti-parti komponen lain dalam BN untuk mendesak sama agar pengundi yang berada di Singapura dibenarkan pulang untuk mengundi.

Sepatutnya UMNO-BN perlu sedar dan bersedia bahawa tidak semua apa yang berlaku di Melaka akan berulang di Johor, mungkin keputusan nanti menterjemahkan perkara yang sebaliknya.

Bukankah mereka yang mahu melaksanakan PRN, jadi tak perlu takut untuk memberi peluang kepada semua pengundi yang layak kerana kalau rakyat menerima UMNO pasti setiap undi mereka dapat nanti tanpa mengharapkan sokongan ahli semata-mata.

Mereka seharusnya memberi idea kepada kerajaan bagaimana mahu benarkan pengundi di Singapura dapat tunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing dalam PRN nanti barulah nampak keyakinan bertanding bukan atas faktor mengambil kesempatan dengan situasi terkini.

Jangan guna alasan Covid-19 kerana kalau perkara itu menjadi halangan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak akan dibubarkan lagi ketika ini untuk memberi laluan kepada PRN yang sudah diketahui ramai dirancang oleh UMNO.

UMNO boleh menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Singapura untuk memudahkan perkara itu termasuk membuka pusat mengundi khas di pejabat kedutaan atau mana-mana lokasi yang difikirkan sesuai.

Hanya cara itu boleh memastikan hak setiap pengundi tidak dinafikan jika langkah mahu membenarkan mereka pulang ke tanah air berkemungkinan lebih mendatangkan risiko.

Dalam hal pengundi yang berada di negeri lain tetapi tidak dapat pulang mengundi itu tidak boleh buat apa kerana pilihan di tangan mereka. Namun rakyat kita di Singapura terutama orang Johor yang mahu mengundi perlu diberikan peluang itu sewajarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *