PARTI Bangsa Malaysia (PBM) mungkin akan membuat penampilan sulung mereka pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang, kata Timbalan Presidennya Haniza Mohamed Talha.

Beliau berkata kemungkinan itu sangat tinggi berdasarkan perkembangan politik terkini, statistik dan maklum balas dari lapangan.

“Pada masa ini perkara itu masih dalam perbincangan bersama kepimpinan tertinggi parti dan pihak tertentu yang berada di luar parti.

“PBM hanya akan meletakkan calon di kawasan pemimpin sudah berkhidmat kepada rakyat di sana dan dikenali oleh pengundi,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

Beliau berkata, calon yang akan diletakkan mempunyai peluang yang baik untuk menang kerana PBM sebuah parti berbilang kaum yang kuat dan ini faktor penyatuan seluruh rakyat Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kepercayaan dilihat sebagai satu Bangsa Malaysia,” katanya

Pada 21 Dis lalu, PBM secara rasmi dilancarkan sebagai parti politik nasional selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) meluluskan pertukaran nama dan perlembagaannya daripada parti asal, iaitu Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Parti berkenaan diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan di Johor, PBM mempunyai satu kerusi Parlimen, iaitu Tebrau yang diwakili Steven Choong yang juga Naib Presiden parti itu.

Sementara itu, Haniza berkata, PBM juga mendesak supaya lebih banyak perwakilan wanita dan belia dilibatkan sebagai calon pilihan raya.

Katanya, bakat yang belum diterokai itu pastinya akan menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan negara yang lebih baik.

Mengulas berkenaan perancangan segera sebagai Timbalan Presiden, Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, beliau ingin membantu mengukuhkan PBM dan menjadikannya pilihan rakyat Malaysia pada pilihan raya akan datang.

Katanya, untuk tujuan itu, PBM mengatur beberapa program termasuk siri jelajah ke 14 negeri, mesyuarat pemimpin dan ahli baharu serta mempromosi PBM melalui program dan pembabitan dengan rakyat.

“Mengenai persiapan untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kami dalam proses mengenal pasti calon, kerusi dan penubuhan jentera pilihan raya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here