3,245 mesin bitcoin bernilai RM3.2 juta dirampas di Kedah

Oleh RIZQI ZABIDI

SEHINGGA semalam, Polis Kedah telah merampas sebanyak 3,245 mesin bitcoin dianggarkan bernilai kira-kira RM3.2 juta, menerusi pelaksanaan Ops Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bitcoin bermula 19 Januari lalu.

Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, rampasan itu dibuat menerusi 44 serbuan yang dilaksanakan di beberapa daerah dalam Kedah, melibatkan penahanan tujuh individu berusia antara 35 hingga 45 tahun.  

“Mereka ini kebiasaannya menjadikan kawasan-kawasan perumahan yang tidak ramai penghuni sebagai kawasan sasaran. Golongan tersebut akan mengupah individu yang mahir untuk membuat penyambungan haram untuk kegunaan mesin-mesin bitcoin tersebut.

“Tindakan sedemikian merupakan satu kesalahan kerana mereka ini mencuri arus elektrik. Perbuatan itu juga mampu menyebabkan kerosakan terhadap peralatan TNB sekali gus menyusahkan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kegiatan melombong bitcoin tidak salah dari sudut undang-undang sebaliknya tindakan mencuri arus elektrik itu yang sebenarnya dianggap sebagai perlakuan jenayah.

“Harga semasa bagi seunit mesin perlombongan ini adalah antara RM1,000 hingga RM1,500. Dianggarkan setiap satu unit mesin tersebut menggunakan tenaga elektrik berjumlah antara RM400 hingga RM500 sebulan dengan pengaktifan selama 24 jam.

“Kita masih menyiasat sama ada ketujuh-tujuh individu yang ditahan itu datang dari kumpulan yang sama. Rampasan tersebut dilakukan di beberapa daerah dalam negeri ini antaranya Sungai Petani, Kota Setar dan Langkawi,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.  

Dalam pada itu katanya, sejak pelancaran Op Letrik TNB Bitcoin pada 2020 di seluruh negara, Polis Kedah telah melakukan sebanyak 85 serbuan dan merampas sebanyak 5,948 mesin bitcoin.

“Kami menyeru orang ramai supaya sama-sama mencegah dan membanteras kegiatan ini secara total. Tindakan ini merupakan satu jenayah terancang yang akan menyebabkan gangguan semasa kepada bekalan elektrik setempat selain mendatangkan kerugian besar kepada TNB,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *