KETUA-Ketua Penerangan Bersatu bahagian utara Johor mengutuk tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggalkan parti itu selepas DUN dibubarkan.
Dalam kenyataan bersama, mereka bagaimanapun menegaskan, tindakan Mazlan Bujang dan Datuk Mohd Izhar Ahmad sudah dijangka.
‘’Ia tidak menjejaskan perpaduan Bersatu Johor dan ukhuwah Perikatan Nasional,’’ kata kenyataan itu yag dibuat Ketua Penerangan Bahagian Pagoh, Ledang, Labis, Muar, Bakri, Batu Pahat, Sembrong, Segamat, Sri Gading dan Air Hitam.
Mereka juga turut menyokong penuh Resolusi Muzakarah Pas-Bersatu pada 28 Januari dan 29 Januari lalu yang antaranya membuat ketetapan akan bersama menyertai pilihan raya negeri Johor atas nama Perikatan Nasional.
Sebelum itu dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri mendedahkan, tidak berasas apabila Mohd Izhar memberi alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin walhal masih menganggotai Bersatu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Malah, Mohd Solihan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang percaya tindakan Mohd Izhar yang bersama-samanya menjadi Exco kerajaan Johor sebelum ini langsung tidak memberi kesan kepada Bersatu.
“Beliau keluar parti kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus hilang jawatan Exco dan lantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat kerajaan negeri.
“Justeru, beliau beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin atau bertanding di mana-mana kerusi lain.
“Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd Izhar mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri beliau sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Leave a Reply