KEM Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi sedang merancang sekurang-kurangnya tiga lagi pilihan raya negeri (PRN) dengan harapan dapat mengembalikan semula pengaruh kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum menamatkannya dengan ‘pertembungan akhir’ dalam bentuk pilihan raya umum (PRU) pada Julai, MalaysiaNow difahamkan.
Satu sumber rapat dengan kem Zahid berkata rancangan itu bakal menyaksikan PRN diadakan di Perlis, Kedah dan Perak.
“Selepas Johor, terdapat usaha gigih untuk mencetuskan PRN di Perak pula,” kata pemimpin Umno itu kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.
Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat kenyataan paling tegas terhadap Umno sejak kedua-dua parti Melayu terbesar itu berdamai pada 2019 dengan termeterainya Muafakat Nasional (MN).
MN merupakan sebuah piagam kerjasama bersejarah di mana kedua-dua parti itu menamatkan perseteruan politik yang mewarnai politik Melayu sejak beberapa dekad lalu.
Kenyataan Hadi itu dilihat sebagai isyarat beliau tidak akan tunduk kepada gesaan segelintir pemimpin pro-Umno dalam PAS yang selesa bekerjasama dengan Zahid.
Presiden parti yang memiliki pengaruh besar terhadap penyokong PAS di seluruh negara itu dilihat menjarakkan partinya dari Umno selepas mereka memilih untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020, sokongan PAS diberikan kepada Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri.
Parti itu juga turut merasmikan kerjasama mereka itu dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin presiden Bersatu itu, selain turut menolak percubaan sekelompok ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan Zahid dan Najib Razak untuk menumbangkan pentadbiran Muhyiddin.
Sumber yang bercakap kepada MalaysiaNow mengesahkan dakwaan Hadi semalam bahawa sekumpulan pemimpin Umno dikenali sebagai ‘kluster mahkamah’ menjadi dalang dalam mencetuskan beberapa PRN sebelum ini.
“Umno sedar PRN yang diadakan ketika orang ramai mempunyai pelbagai perkara untuk difikirkan selepas dua tahun hidup dalam pandemik adalah waktu terbaik untuk mengukuhkan kuasa di peringkat negeri sebelum PRU,” tambah sumber itu.
Sementara seorang lagi sumber dari kem anti-Zahid dalam Umno bagaimanapun berkata, masa sudah tidak lagi menyebelahi presiden parti itu, yang kini sedang berdepan kemungkinan disabitkan kesalahan rasuah sama seperti bekas bosnya Najib.
“Masanya adalah sekarang, sebelum mandat lima tahun tamat. Negeri-negeri itu mesti kembali kepada Umno sebelum pertembungan pada peringkat akhir,” kata ahli Parlimen itu.
Beliau berkata, keadaan yang seakan menyebelahi Umno ketika ini bukan kerana wujudnya peningkatan sokongan terhadap parti itu, sebaliknya ia berpunca daripada sikap kurang minat dalam kalangan pengundi dalam pilihan raya selain PRU.
“Melaka sudah menunjukkan Umno tidak mendapat undi yang mereka hilang sebelum ini, sebaliknya Melayu yang mengundi PH memindahkan sokongan mereka kepada Bersatu di bawah PN.
“Inilah masa di mana deposit tetap undi Umno akan keluar mengundi dan pada masa yang sama ramai yang lain tidak akan keluar mengundi seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka. Tiada masa lain yang sesuai untuk rampas kuasa selain sekarang,” katanya.
“PRU akan jadi pertembungan peringkat akhir, selepas Umno menyelesaikan usaha mereka untuk kembali berkuasa di semua negeri yang sama ada mereka kalah atau terpaksa berkongsi kuasa,” kata sumber itu lagi.
Semalam, Hadi turut mengatakan beliau mengetahui mengapa sekumpulan pemimpin Umno mahu mencetuskan PRN, bahkan beliau turut memberi amaran kekuatan akar umbi PAS bersedia untuk melawan ‘strategi’ sedemikian.
“Kita tahu strategi di Melaka, akan dibuat sama juga di Johor. Strategi tak lebih daripada menggunakan undi-undi teras Umno.
“Peratus keluar undi (di Melaka) adalah 60%. Undi atas pagar tak keluar habis, undi muda tak keluar habis,” kata Hadi.
Ini merupakan pertama kali dalam sejarah terlalu banyak PRN dilaksanakan di luar PRU.
Sejak 2020, tiga negeri – Sabah, Melaka dan Sarawak – melaksanakan PRN, sementara tarikh PRN Johor dijangka akan diumumkan tidak lama lagi susulan pembubaran DUN pada 22 Januari lalu.
Sumber juga berkata tujuan utama rancangan itu dijalankan bukan sahaja bertujuan untuk menunjukkan ‘Umno sudah kembali’, bahkan untuk menetapkan momentum bagi mendapatkan kuasa ‘sepenuhnya’ di peringkat persekutuan.
“Selepas banyak negeri dikuasai, barulah mudah bagi Umno untuk kembali menguasai Putrajaya tanpa perlu berkongsi kuasa dengan orang-orang yang menyebabkan kami tersungkur,” kata sumber dalaman Umno Pahang itu merujuk kepada peranan Bersatu dalam menumbangkan kerajaan diketuai Umno pada 2018.
Dalam PRU tersebut, pemimpin Umno yang menentang perdana menteri pada ketika itu Najib Razak ekoran penglibatannya dalam skandal 1MDB menubuhkan Bersatu.
Bersatu menyebabkan sebahagian deposit undi tetap Umno beralih kepadanya sekali gus menumbangkan kerajaan enam dekad Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.
Bagaimanapun, difahamkan walaupun Umno sudah mengerakkan usaha bagi membubarkan DUN Perak dan Perlis, namun tindakan sedemikian di Kedah akan menentukan hala tuju jalinan hubungan antara PAS dengan parti Melayu itu.
Di Kedah, PAS memimpin negeri dengan sokongan Umno dan Bersatu.
“Sebarang langkah untuk mengganggu kestabilan kerajaan Kedah akan berdepan kecaman besar daripada penyokong PAS, ia juga akan menjadi kubur kepada Muafakat,” kata sumber dari Umno Pahang itu lagi.
Leave a Reply