UMNO negeri

Keyakinan melampau UMNO akan jerat diri

SIFAT terlalu yakin yang ditonjolkan UMNO untuk menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat cuma bersandarkan kepada kejayaan PRN Melaka yang berpunca daripada jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah. 

Parti yang mengetuai Barisan Nasional (BN) itu jelas berharap rakyat terus kekal dengan pemikiran sudah muak dengan politik, sekaligus memprotes dengan cara tidak keluar mengundi seperti yang berlaku pada PRN sebelum ini. 

Pada masa sama, rakyat juga masih diselubungi kebimbangan penularan wabak Covid-19, apatah lagi ketika ini varian Omicron sudah mula merebak di Malaysia. 

Jumlah pengundi yang rendah itu akan memberikan kelebihan kepada BN dan perkara itu perlu ditangani secara bijak oleh parti lawan sekiranya mahu menafikan kemenangan BN. 

Mengulas perkara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy berkata, apa yang perlu dilakukan Perikatan Nasional (PN) adalah menarik pengundi bukan ahli parti yang mendominasi politik negara. 

“Ini perlu dilakukan dengan menunjukkan kemampuan sewaktu era pentadbiran PN untuk memberikan kelegaan dan kepentingan kepada masyarakat.

“Perkara ini juga adalah satu perkara yang perlu diberikan satu imej yang konsisten dan perangkaan yang lebih tepat berhubung kemampuan mereka,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambahnya, cara ini jelas menunjukkan satu perbandingan politik diantara pentadbiran yang sedia ada dan sekali gus akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sama ada kelebihan ini mencukupi untuk membantu PN dalam memenangi PRN yang akan datang.

Bagaimanapun, Nirwandy merasakan bahawa dalam keadaan sekarang ini, agak sukar untuk menarik pengundi terutamanya ketika masyarakat sedang mementingkan isu pemulihan Covid-19.

“Maka mereka (PN) perlu meyakinkan pengundi dengan sistem-sistem sokongan dengan perancangan masa depan serta langkah-langkah jaminan manifesto yang lebih berkepentingan awam sepenuhnya.

“Yang mana boleh menimbulkan minat pada politik sama ada golongan muda dan golongan lain kerana jelas pengundian yang lebih tinggi akan memberikan kelebihan pada parti,” katanya.

Sekiranya perkara ini berlaku, ianya akan memberikan kelebihan kepada PN untuk mencabar UMNO pada PRN yang akan datang.

Namun, beliau mengingatkan, manifesto harus bersifat janji yang boleh ditunaikan dan bukan manifesto yang gagal disempurnakan seperti mana yang telah berlaku dalam pilihan raya yang lepas hingga menyebabkan masyarakat hilang minat untuk menyertai politik terutamanya ketika era penularan Covid-19.

Bagi Penganalisis Politik, Mujibu Abd. Muis, keyakinan UMNO itu disebabkan dua perkara iaitu prestasi mengejutkan di Melaka dan perpecahan pembangkang serta isu-isu yang masih lagi tidak boleh digembleng oleh pihak pembangkang.

“Kedudukan semasa memang memihak kepada UMNO bila kita jangkakan PRN tanpa kempen disebabkan SOP mungkin akan memberi kelebihan kepada UMNO yang mempunyai akar umbi yang kuat serta negeri Johor sebagai kubu kuat mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Mujibu berpendapat bahawa PN dilihat lebih berprestasi daripada Pakatan Harapan di Melaka serta dikuatkan lagi dengan kubu Bersatu yang terletak di Johor.

“Bersatu mempunyai banyak tokoh-tokoh besar yang berada di Johor seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi kalau PN nak menang, ada beberapa perkara yang perlu dilihat.

“Tetapi, sekiranya bertanding solo dalam keadaan sekarang, mungkin akan terjejas disebabkan jentera yang bergantung harap kepada tokoh-tokoh besar Bersatu ditambah pula dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan mungkin tidak bertanding,” katanya.

Namun, beliau menegaskan sekiranya PN ingin menang PRN di negeri Johor, calonnya mestilah seseorang yang berkredibiliti dan perlu mempertimbangkan Pas sebagai regu.

Tambahnya, krisis terbesar bagi pesaing UMNO adalah untuk menampilkan satu alternatif Melayu yang boleh menyaingi UMNO.

“Namun, saya nampak Bersatu tidak menonjolkan ‘Bersatu’ malah lebih menonjolkan Perikatan Nasional dan naratif Melayu Islam yang digarab bersama Pas tidak nampak begitu menjadi berbanding Muafakat Nasional,” jelasnya.

Oleh itu, Mujibu menjelaskan bahawa kunci utama bagi PN untuk menang adalah calonnya perlu berkaliber dan datang dengan satu naratif Melayu yang membolehkan Bersatu ini dilihat sebagai alternatif kepada naratif Melayu UMNO.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *