Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

JAIS sedang siasat ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat penyebaran ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan oleh Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang didakwa mula dikembangkan dalam negara ketika ini.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, setakat ini pihak JAIS belum menerima aduan penyebaran ajaran sesat itu di Selangor.

“Pihak JAIS juga belum mempunyai maklumat terperinci mengenai gerakan tersebut. Ajaran sesat di Selangor ini banyak, jadi ia sentiasa berkembang dari satu masa ke satu masa. Gaza ini masih baharu mungkin datang daripada ajaran-ajaran yang lama.

“Kita masih siasat perkara ini, saya telah berbincang dengan pengarah JAIS dan ketua polis negeri untuk meneliti perkara ini, selepas itu JAIS akan ambil tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perutusan Pengerusi MAIS dan Pelancaran K-Guam di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Kumpulan berasal dari Indonesia itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah SWT di dalam mimpinya.

Menerusi perutusan itu, Abdul Aziz memberitahu MAIS menghadapi cabaran dan ancaman akidah dalam menjaga kesucian Islam seperti kemunculan fahaman Ibu Yati, golongan Atheis dan sekularisme.

Menurutnya, permasalahan itu telah bertapak sejak dahulu dan usaha pencegahan menerusi pendidikan, penguatkuasaan serta pemulihan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan isu itu dibendung sebaiknya.

“Selain itu, bagi menangani kes-kes mahkamah dan perundangan yang melibatkan kesucian Agama Islam, MAIS telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pakar Perundangan Litigasi Kesucian Agama Islam (PERLIMA).

“Ia bertujuan mengesyorkan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh MAIS berhubung dengan sesuatu kes kesucian agama Islam yang melibatkan kepentingan MAIS atau undang-undang Islam dan strategi mengangkat kedudukan agama Islam serta memperkasa undang-undang Islam di Selangor melalui tindakan litigasi,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *