5 lelaki ditahan bergaduh urusan tarik kereta kemalangan

POLIS Pulau Pinang menahan lima lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan berpunca daripada salah faham berhubung urusan menarik kereta yang terbabit kemalangan.

Mereka merupakan antara kira-kira 20 individu yang dikesan terlibat dalam insiden itu yang berlaku di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown, kira-kira pukul 2 petang semalam.

Insiden itu yang berjaya dirakam orang awam dan turut tular di dalam media sosial Facebook menunjukkan kira-kira 20 lelaki bergaduh sesama sendiri sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit kemalangan di laluan menghala pusat bandar.

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut melibatkan sekumpulan individu kira-kira 20 orang terdiri dari pekerja-pekerja penarik kereta berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya berkenaan.

“Anggota polis yang berada di lokasi kejadian cuba meleraikan pergaduhan tetapi gagal dan seterusnya mendapatkan bantuan dari anggota polis Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Soffian, ketika anggota MPV dan URB tiba di lokasi kejadian, kesemua individu berkenaan bagaimanapun telah melarikan diri.

“Setakat ini, lima lelaki warga tempatan berumur antara 26 hingga 50 tahun telah ditangkap di sekitar Georgetown.

“Pihak polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi kaledar dan pengunci motosikal,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh dengan senjata).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *