UMNObantuan PAS terasa hati

UMNO lupa menang PRK dulu hasil bantuan PAS

UMNO dikatakan sudah lupa sama sekali bahawa kemenangan yang diperolehi Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah hasil bantuan PAS.

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik berkata, UMNO seolah-olah kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi.

Menurut beliau, melihat kepada perkembangan terkini, UMNO seperti sangat ghairah untuk kembali berkuasa tanpa PAS dan Bersatu.

Mokhtar menambah, keghairahan itu semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri daripada pemimpin Bersatu kepada UMNO.

“Kemudian diekori dengan kemenangan besar UMNO di Melaka dan terkini cubaan menguasai Johor pula. Suara UMNO Kelantan dan Johor menolak kerjasama dengan PAS mula bergema.

“Sebelum ini gema tersebut telah disuarakan oleh UMNO Terengganu. Kelihatan yang masih agak sayang kepada Muafakat Nasional (MN) hanya UMNO Selangor, Perlis dan Pahang. Negeri lain saya tidak pasti (sedang memerhati perkembangannya),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain kekalahan.

Hubungan PAS dan UMNO semakin meruncing apabila UMNO Johor memutuskan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara solo.

PAS Johor masih cuba berunding dengan UMNO bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru yang dikhuatiri boleh membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di negeri itu.

Setakat ini, belum ada perkembangan positif dalam rundingan antara PAS dan UMNO berhubung PRN Johor.

Mokhtar turut mengingatkan semua parti termasuk UMNO agar jangan bersikap seperti ‘abang long’ yang mahu mendominasi gabungan tiga parti terbesar Melayu.

“Kerana dari pengamatan saya, jika mana-mana parti merasa dia lebih besar dari parti-parti lain dalam gabungan itu maka gabungan itu akan pecah.

“Tidak salah jika memberikan UMNO lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli UMNO lebih ramai dari keahlian PAS dan Bersatu.

“Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai UMNO mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan Bersatu,” jelasnya.

Beliau berpandangan, UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi terlalu kuat.

“…kerana bila merasa terlalu kuat UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya. Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar.

“Itulah yang sedang berlaku kepada UMNO sekarang. UMNO dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. UMNO dah rasa sangat kuat,” ujarnya.

Mokhtar berkata, tiada pilihan bagi UMNO selain menguatkan barisan UMNO + PAS + Bersatu.

“Tapi dengan syarat jangan nak jadi abang long. Setakat jadi abang ngah tu boleh. Belajar tawaduk dan setiakawan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *