Suami isteri antara ahli sindiket edar dadah RM2 juta

SEPASANG suami isteri berusia 30 dan 43 tahun merupakan antara empat individu yang ditahan polis Pulau Pinang kerana terbabit dalam sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan syabu bernilai hampir RM2 juta.

Kedua-dua pasangan warga tempatan itu ditahan bersama dua lagi suspek dalam empat serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) antara 20 hingga 22 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu tumpas selepas polis menahan suspek pertama iaitu lelaki berusia 43 tahun berkenaan di tepi jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam pukul 5 petang, 20 Januari lalu.

Jelasnya, ketika ditahan polis menemukan tiga bungkusan plastik berwarna kuning disyaki dadah jenis syabu bersama suspek yang merupakan pemilik bengkel besi dengan anggaran berat kira-kira tiga kilogram (kg) bernilai RM113,832.

Tambahnya, penahanam suspek pertama itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Bukit Mertajam yang mana seorang wanita yang juga isteri suspek ditahan.

“Pemeriksaan di rumah itu juga menemukan sebanyak 20 bungkusan plastik berwarna kuning disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 20.8 kg bernilai RM748,000.

“Selain itu, turut ditemukan adalah dua bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah ketamin seberat kira-kira 1.3 kg bernilai RM70,895 serta 23 bungkusan plastik yang mengandungi 58,750 biji pil eramin 5 bernilai RM881,250,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, hasil soal siasat ke atas suspek pertama, polis berjaya menahan dua lagi ahli sindiket itu dan merampas dadah jenis ketamin dengan seberat kira-kira 3.26 kg bernilai RM178,750.

Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif mengedar dadah sejak tahun lalu dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek pula didapati negatif dadah, namun dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek kini direman sejak 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain rampasan dadah, kita turut menyita lapan buah kenderaan, barang kemas, wang tunai dan wang di dalam akaun dengan nilai keseluruhan sitaan RM1.31 juta,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *